20 Oktober, 2013

KM Melaka Sasar Melaka ke Liga Perdana 2014

Kuala Lumpur: “Kejayaan tidak akan dicapai dengan sekelip mata tapi saya percaya Melaka dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang akan kembali ke era kegemilangan,” kata Presiden Melaka United Soccer Association (Musa) Datuk Seri Idris Haron. Jelas selepas bola sepak Melaka mengalami kemerosotan yang ketara sehingga kini diturunkan ‘pangkat’ beraksi dalam Liga FAM, Ketua Menteri Melaka itu yang baru dilantik menerajui Mafa mahu melihat semula kebangkitan bola sepak negeri itu untuk kembali bersaing dengan pasukan elit. “Sasaran utama kami adalah untuk membawa pasukan Melaka ke Liga Perdana terlebih dulu dan untuk menjayakan misi ini kami memerlukan masa dan perancangan rapi. Dulu pasukan Melaka cukup dikenali dalam bola sepak kerana mempunyai pemain handalan antaranya Datuk Soh Chin Aun.


 “Dulu Melaka cukup meriah bila ada perlawanan bola sepak, ia ibarat pesta dan saya mahu suasana itu akan kembali semula. Tapi untuk menarik semula minat penyokong, kami memerlukan pasukan yang baik dan sudah tiba masanya untuk kami membentuk semula pasukan bagi memastikan Melaka tidak akan terus ketinggalan,” kata Idris yang mengambil alih teraju daripada Datuk Yunus Husin pada Kongres Tahunan MAFA (EGM) ke-58 baru-baru ini. Zaman kemerosotan skuad Kancil itu bermula apabila terhumban ke saingan Liga FAM pada 2011 dan musim lalu mereka hanya berjaya menamatkan kempen di tangga keenam daripada 11 pasukan. 

 Proses pembentukan semula skuad Melaka bermula dengan pemilihan jurulatih dari Slovakia Ladislav Totkovic dan melantik anak watan negeri itu yang juga jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee sebagai penasihat. Idris yang mengambil langkah menukar Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) kepada Melaka United Soccer Association bagaimanapun berharap semua pihak boleh memberikan kerjasama dalam memastikan kejayaan pasukan itu. “Saya sudah mengingatkan kepada semua pihak yang terbabit supaya tiada lagi ‘Kem A’ dan ‘Kem B’. Sebuah produk yang baik perlu melalui proses yang baik dan proses ini memerlukan kerjasama semua termasuk pihak pengurusan, jurulatih, pemain dan penyokong,” katanya./ melakafa

Tiada ulasan: