16 Disember, 2014

Bola sepak perlu pengurusan sistematik, pasukan berkualiti


SUKAN bola sepak telah menjadi sukan nombor satu di Malaysia malah di dunia. Mengikut perangkaan yang dilakukan badan induk Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada tahun 2007, peminat sukan bola sepak di dunia mencecah 260 milion. 

Tidak kurangnya di Malaysia, ia telah menjadi sukan yang menarik perhatian ramai pihak apatah lagi ketika ada penyertaan pasukan kebangsaan dalam kejohanan tertentu seperti Piala AFF Suzuki.

Namun, prestasi pasukan kebangsaan yang mendapat gelaran Harimau Malaya tidak begitu memberangsangkan. Malaysia berada pada kedudukan ke-155 dalam ranking FIFA yang terbaharu, di belakang Filipina, Myanmar, Vietnam dan Thailand. Kedudukan tersebut tidak menggambarkan segala-galanya tetapi itulah ukuran yang perlu diambil perhatian.

Saya lebih suka untuk memfokuskan kepada pembangunan jangka panjang Liga Malaysia yang seharusnya dijadikan medan utama dalam mengasah kembali prestasi bola sepak negara. 

Pada tahun 2013, Football Association Malaysia (FAM) mengumumkan untuk melaksanakan dasar penswastaan bagi Liga Malaysia iaitu Liga Super dan Liga Perdana pada tahun 2015 yang kemudiaannya bakal ditunda pada tahun berikutnya.

Dasar penswastaan Liga Super dan Liga Perdana tersebut tidak seharusnya dilihat pada aspek penyelesaian pembayaran gaji semata-mata yang menjadi tunjang permasalahan kepada naik turun prestasi kebanyakan pasukan negeri ketika ini. 

Walau bagaimanapun, ia mungkin satu bahagian yang penting dari dasar tersebut. Melihatkan perkara besar yang ingin digubal pihak FAM, saya mengesyorkan beberapa pandangan untuk diberi perhatian bersama:

1.  Membentuk struktur liga supaya lebih kompetitif dengan menggalakkan pembiayaan kewangan (‘sponsorship’) daripada syarikat-syarikat besar di Malaysia. Masalah utama yang melanda kebanyakan pasukan di dalam liga tempatan hari ini adalah berkait dengan masalah kewangan. Jika ia tidak kukuh, nescaya prestasi pasukan tersebut merosot malah kebanyakan pasukan kelab terus lenyap. Pembiayaan kewangan oleh syarikat-syarikat besar terhadap pasukan bola sepak tempatan selayaknya diberi keistimewaan tertentu oleh kerajaan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan mereka dalam bola sepak. Jika tidak ia akan kekal menjadi masalah yang menghantui masa depan bola sepak negara.

2. Liga tempatan perlu dibangunkan secara global dan tidak hanya mengekalkan bentuk tradisionalnya. Pemain-pemain muda yang berpotensi perlu diberi pendedahan beraksi di negara-negara luar termasuk Eropah dan Asia Timur. Ia secara tidak langsung berkait dengan pembangunan mental para pemain supaya lebih kreatif dan tajam ketika beraksi di atas padang. Kelebihan tersebut tidak hanya dimiliki dengan latihan insentif tetapi ia menyerap masuk melalui pengalaman dan pendedahan pemain tersebut.

4. Dekatkan bola sepak dengan masyarakat tempatan (home-town system). Tidak dapat dinafikan, sokongan masyarakat terhadap bola sepak banyak bergantung kepada prestasi pasukan kebangsaan. Jika skuad negara mampu menunjukkan aksi yang memberangsangkan dan mencatatkan kemenangan, maka sokongan masyarakat turut meningkat naik dan begitulah juga sebaliknya. Di sini, media dan penyokong tegar memainkan peranan. Mereka adalah jambatan yang membentuk gelombang kepada sokongan masyarakat terhadap bola sepak. Maka, dua aspek ini juga perlu diberi perhatian.

5. Penyerapan lebih ramai bakat-bakat muda supaya diserapkan kepada pasukan-pasukan utama yang beraksi di dalam Liga Super dan Liga Perdana. Setiap pasukan yang beraksi perlu memiliki pasukan bawah 18 dan 15 tahun yang tersendiri, klinik bola sepak dan program-program bola sepak tempatan bertujuan meningkatkan lagi minat anak muda terhadap bola sepak. Saya yakin kita memiliki ramai pemain muda di luar sana yang berbakat dan mereka perlu dicari dengan penelitian yang mendalam supaya lebih ramai anak muda berbakat diketengahkan.
 
6. Bangunkan fasiliti bola sepak supaya berada pada tahap yang mencapai standard antarabangsa terutamanya dari sudut kualiti padang, stadium, ‘coaching tools’ dan sebagainya. Ia termasuk juga dengan pembangunan sains sukan. Kementerian dan FAM perlu menganjurkan lebih banyak kajian sains sukan di dalam universiti terutama bagi meningkatkan mutu pembangunan sukan bola sepak negara.

Saya melihat perubahan yang perlu dilakukan Liga Malaysia adalah kepada dua teras yang utama; pengurusan yang sistematik bagi liga utama dan pasukan yang bertanding dan keduanya, pembentukan setiap pasukan yang bertanding dengan kualiti yang tinggi dan kukuh dari sudut kewangannya. Jika dua teras ini diambil perhatian nescaya zaman kegemilangan bola sepak negara akan kembali.

Tiada ulasan: