MISI skuad Harimau Malaya pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014, bakal ditentukan pada aksi terakhir kumpulan B berdepan juara bertahan, Singapura di Stadium Nasional di sini, malam esok.
Kemenangan ke atas tuan rumah bakal menjamin tempat ke separuh akhir dan andainya kecundang bermakna cabaran skuad kendalian Dollah Salleh pada edisi ke-10 kejohanan itu, akan berakhir.
Prestasi mengecewakan dalam dua perlawanan sebelum ini, berdepan Myanmar dan Thailand, mengecewakan penyokong bola sepak negara yang masih dahagakan kejayaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa selepas kali terakhir Malaysia muncul juara kejohanan itu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.
Keputusan seri tanpa jaringan bertemu Myanmar pada aksi pembukaan di Stadium Jalan Besar, Ahad lepas sebelum kalah 2-3 kepada Thailand di venue sama dua hari lepas, menyebabkan Malaysia terpaksa menempuh laluan sukar pada kejohanan kali ini.
Dollah perlu merencanakan strategi terbaik untuk menumpaskan Singapura di bawah kendalian jurulatih dari Jerman, Bernd Stange, yang hanya memerlukan seri untuk mara ke separuh akhir.
Kemenangan 4-2 ke atas Myanmar di Stadium Nasional, Rabu lepas, menghidupkan kembali peluang Singapura yang kecundang 1-2 kepada Thailand pada aksi pembukaan di venue sama, Ahad lepas.
Berdasarkan rekod pertemuan antara Malaysia dan Singapura pada kejohanan itu yang mula diperkenal pada 1996, adalah seimbang dengan kedua-dua pasukan masing-masing mencatat tiga kemenangan, manakala bakinya berkesudahan dengan seri.
Skuad Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah keupayaan Singapura yang sudah tentu mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka di halaman sendiri. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan