Kelantan menghampiri slot ke final Piala Malaysia apabila mengalahkan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada perlawanan separuh akhir
pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat Kuala Lumpur,
malam ini.
Biarpun memiliki bekalan tipis satu gol, skuad 'The Red Warriors' mempunyai laluan mudah dalam pertemuan semula pada separuh akhir kedua di halaman sendiri di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu, 25 Okt ini.
Biarpun memiliki bekalan tipis satu gol, skuad 'The Red Warriors' mempunyai laluan mudah dalam pertemuan semula pada separuh akhir kedua di halaman sendiri di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu, 25 Okt ini.
Kedua-dua pasukan itu memulakan perlawanan dengan langkah berhati-hati tanpa memiliki kelebihan dalam penguasaan bola mahupun dalam percubaan ke gawang gol.
Bagaimanapun, Kelantan menceriakan kira-kira 10,000 penyokong mereka dalam stadium dengan jaringan kapten pasukan, Mohd Badri Radzi menerusi sepakan kencang daripada luar kotak penalti pada minit ke-16.
Kegembiraan pasukan pelawat kendalian Bojan Hodak itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila pemain sayap ATM, D.Christie Jayaseelan menyamakan kedudukan untuk skuad 'The Gladiators', empat minit kemudian.
Kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menambah jaringan namun dihampakan oleh kekebalan benteng pertahanan masing-masing sehingga akhir separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Kelantan meningkatkan rentak serangan untuk memburu gol kedua namun digagalkan oleh kecemerlangan benteng pertahanan ATM dan dan penjaga gol, Mohd Farizal Harun.
Kekebalan Mohd Farizal bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain sayap Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad meledakkan gol kemenangan pada minit ke-79.
Walaupun puas hati dengan persembahan Kelantan, Hodak berkata anak buahnya sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol bagi memudahkan laluan mereka ke final.
Bagaimanapun, beliau yakin dengan sokongan padu penyokong dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri dapat membantu pasukan itu mengesahkan tempat di final.
"Saya tidak mahu pemain terbawa-bawa dengan kemenangan ini malah mahu pemain meningkatkan usaha memburu lebih banyak gol di halaman sendiri nanti," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Sementara itu, ketua jurulatih ATM, B. Sathianathan mengakui bukan mudah untuk mengatasi Kelantan di gelanggang lawan tetapi yakin anak buahnya mampu bangkit untuk memburu tiket ke pentas final.
"Mahu tidak mahu kita kena menjaringkan gol di Kota Baharu nanti...kita akan cuba menewaskan Kelantan di tempat mereka sebagaimana kita pernah melakukan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata kecederaan yang menimpa pemain pertahanan, Norfadzly Alias pada pertengahan babak kedua serta ketumpulan jentera serangan telah membuka peluang kepada Kelantan untuk menjaringkan gol kemenangan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan